Thursday, May 30, 2013

MENGEKALKAN KEDAULATAN NEGARA

Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang mempunyai rakyat berbilang kaum, agama dan budaya serta mempunyai konsep perlembagaan iaitu undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan utama para pemerintah negara dalam proses mentadbir negara. Konsep ini adalah di bawah kekuasaan mutlak seorang raja yang berperanan sebagai ketua hakim dan penggubal serta pelaksana undang-undang negara. Di atas aspek-aspek inilah negara kita Malaysia menjadi tumpuan asing selain mempunyai kekayaan sumber-sumber alam.

Dalam misi mengekalkan kedaulatan negara, penglibatan daripada semua pihak, termasuklah pemerintah dan rakyat, adalah sangat dituntut. Setiap individu ini seharusnya mengambil peranan masing-masing dalam melahirkan modal insan yang bertaraf tinggi. Di samping itu, mengamalkan konsep rukun negara sekali gus menerapkan nilai-nilainya ke dalam diri juga merupakan aspek yang perlu dilaksana dan dipelihara dalam usaha mengembalikan perpaduan semua kaum di Malaysia selain melahirkan masyarakat yang progresif, demokratik dan bersifat terbuka,dan  sekali gus mempertahankan maruah dan kedaulatan negara tercinta ini.


Negara kita Malaysia mendukung cita-cita yang tinggi bagi mengekalkan status negara harmoni dan berdaulat dan pada masa yang sama terus mengekalkan tradisi dan kebudayaan. Keterlibatan semua pihak adalah sangat penting bagi mencapai misi dan visi negara serta bagi mengelakkan negara kita dari belenggu penjajahan, baik dari segi mental dan fizikal, juga bagi memelihara maruah bangsa dan tanah air daripada dipijak sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.



IKTIBAR PERJUANGAN TOKOH KEMERDEKAAN NEGARA

Jika diimbas kembali bingkisan sejarah ketamadunan Melayu suatu ketika dahulu, segala pahit maungnya perjuangan pejuang-pejuang keamanan negara, sudah pasti timbul akan kesedaran dalam diri kita betapa peritnya laluan kehidupan mereka pada zaman tersebut. Elemen kesedaran ini bakal mendorong kita untuk mengenang kembali perjuangan wira-wira bangsa ini, demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

Perjuangan tokoh-tokoh lampau menentang penjajahan Barat di negara kita sewajarnya dijadikan teladan dan patut kita contohi. Semangat setia kepada negara dan sifat bekerjasama juga amalan permuafakatan di kalangan pemimpin serta pengikutnya telah menyumbang kepada kejayaan menentang penjajah. Dalam penentangan ini, jelas kepada kita bahawa sikap berdisiplin serta gigih berusaha akan membuahkan hasil yang cemerlang.


Sewajarnya, ingatan tulus ikhlas dan penuh kesedaran ini merupakan aspek penting yang perlu diterapkan dalam menjana unsur-unsur patriotisme seterusnya menyemai sikap ini dalam diri kita. Nilai ini adalah sangat digalakkan dalam memelihara keharmonian seterusnya melahirkan rasa kecintaan terhadap bumi bertuah ini. Sikap bersederhana dan tolak ansur juga adalah faktor penting dalam pembentukan negara dan bangsa di Malaysia. 

Wednesday, May 29, 2013

USAHA MENGEKALKAN KEAMANAN NEGARA DALAM ASPEK POLITIK

Malaysia turut melaksanakan usaha mengekalkan keamanan dalam aspek politik negara. Dalam aspek ini, keamanan dapat dipelihara melalui amalan sistem demokrasi yang dilaksanakan di Malaysia yang bermula sejak merdeka. Sistem demokrasi yang dijalankan secara perwakilan ini menjadikan perlembagaan sebagai asas pembentukan kerajaan.

Sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia adalah di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang merupakan sistem pemerintahan yang sangat efisien dalam menjana keseimbangan politik dan mengekalkan kemakmuran sesebuah negara. Pelaksanaan sistem Raja Berperlembagaan ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang unik serta sentiasa dikagumi oleh masyarakat luar melalui wujudnya peranan Yang di-pertuan Agong sebagai pemacu utama negara.

Dalam melaksanakan sistem ini, pilihanraya akan dilakukan lima tahun sekali bagi memilih perwakilan di peringkat pusat dan negeri. Proses pemilihan perwakilan serta pertukaran pemimpin ini dijalankan mengikut prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan dan mengutamakan hak asasi rakyat. Setiap warganegara Malaysia mempunyai hak masing-masing untuk menikmati hak asasi tersebut.

Pelaksanaan sistem demokrasi ini meningkatkan tahap keyakinan rakyat setiap kali proses pembentukan kerajaan ini dijalankan dan sekali gus dapat menjadikan keadaan ini sebagai satu aspek penting yang wajar untuk dijadikan aspirasi serta harus dikekalkan bagi memelihara keamanan negara.



Sunday, May 19, 2013

SAMBUNGAN: USAHA MALAYSIA MENGEKALKAN KEAMANAN NEGARA


Selain daripada kekuatan ketenteraan, pihak polis Malaysia turut menjadi pihak berautoriti dalam mengekalkan keamanan negara. Pihak polis telah berjaya memerangi banyak kes dan gejala sosial yang menular di negara kita, baik dari golongan remaja mahupun golongan belia. Contoh terbaik yang dapat kita ambil ialah peristiwa pencerobohan Kerajaan Sulu di Lahad Datu. Pihak polis merupakan antara pihak-pihak yang bertanggungjawab memastikan keadaan di Pantai Timur Sabah itu terus terkawal. Hasilnya dapat kita lihat pada hari ini bahawasanya pengganas yang menyerang bumi Lahad Datu tersebut telah tumpas di tangan pasukan keselamatan Malaysia.
  

Dalam aspek ekonomi pula, seperti yang kita tahu Malaysia telah menjalinkan hubungan baik serta kerjasama yang erat bersama negara-negara jiran terutamanya negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Kerjasama yang antaranya adalah bermatlamatkan kepada pertumbuhan ekonomi, melalui pelbagai pelaksanaan projek perindustrian, menjamin kepada keseimbangan tahap ekonomi di negara kita. Mei 2012 lepas, menyaksikan rancangan Malaysia untuk terus memperluaskan jaringan usaha ini dengan menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah negara ASEAN dalam sektor koperasi yang merangkumi bidang pertanian, pelancongan dan penternakan.

Saturday, May 18, 2013

USAHA MALAYSIA MENGEKALKAN KEAMANAN NEGARA


Sememangnya Malaysia merupakan sebuah bumi yang bertuah kerana Malaysia merupakan negara yang jarang mengalami bencana alam serta terhindar dari sebarang bahana peperangan. Rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman sentosa seiring dengan arus kemodenanan yang semakin pesat. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan keamanan ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terjamin.

Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan dalam memelihara keamanan negara. Dalam aspek sosial, Malaysia telah meningkatkan kesiapsiagaan pasukan ketenteraannya dengan menggalakkan lebih ramai anak-anak muda menyertai Angkatan Tentera Malaysia serta menaiktarafkan kecanggihan peralatan ketenteraan yang serba moden. Keamanan yang kita miliki ini akan dapat dikekalkan sekiranya usaha menggalakkan remaja menyertai pasukan ketenteraan serta memastikan peralatan yang berteknologi tinggi terus dikekalkan.


Thursday, May 16, 2013

MEMAHAMI KONSEP WASATIYYAH


Konsep wasatiyyah haruslah difahami secara menyeluruh, merangkumi aspek kesederhanaan, keseimbangan, ‘pertengahan’ dan sebagainya dalam konteks yang tertentu. Kesederhanaan dalam mengelakkan sikap melampau dan ekstrem. Keseimbangan dalam kesepaduan kehendak rohani dan jasmani tanpa kecuaian dan keterlaluan. Pertengahan yang tidak membawa sebarang maksud yang menjurus kepada jalan yang lemah atau mundur.
Melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dapat ditingkatkan. Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawasanya melalui pendekatan wasatiyyah, yang telah digarapkan dalam segenap perkara di dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang dalam mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dan kemajmukan, telah menjana tonggak kesatuan dan perpaduan kaum.
Tumpahan darah yang sudah puluhan tahun lamanya dialami oleh Bumi Palestin benar-benar telah memberikan kita kesedaran mengenai kepentingan konsep wasatiyyah dalam membangunkan sebuah negara yang maju dan bertamadun. Tragedi ini haruslah dijadikan pedoman dan iktibar. Dalam pada itu, konsep dan penghayatan wasatiyyah perlu bagi mewujudkan serta mengekalkan kesatuan ummah yang sebenarnya. Penglibatan semua kaum dalam mewujudkan perpaduan dan mempertahankan hak dan keistimewaan merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap individu dalam usaha untuk mengekalkan keamanan sejagat.

Wednesday, May 15, 2013

KESILAPAN JADIKAN PENGAJARAN

Tragedi yang berlaku di Sabah sudah cukup untuk menginsafkan segelintir rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Bagaimana pula dengan diri kita sendiri, adakah telah timbul kesedaran dalam diri untuk menyelami erti sebuah keamanan seterusnya mengutuk kekerasan serta penindasan. Jawapannya, tepuk dada, tanyalah selera. Tepuk dada, tanyalah minda. Jika anda bijak menilai, jawapan  bagi persoalan tersebut  pasti akan terungkai.

Ambillah iktibar daripada kisah Nabi Sulaiman yang telah mengancam Ratu Balqis dengan peperangan kerana menolak wahyu yang diturunkan kepada Nabi Sulaiman, menyeru agar Balqis beriman kepada keesaan Allah Subhanahu Wataala. Namun, kerana akhlak yang terpuji serta kebijaksanaan yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman, Ratu Balqis akhirnya tunduk kerana kagumnya dia terhadap kebolehan Nabi Sulaiman dalam menyelesaikan krisis tanpa menjalani proses peperangan. Dalam situasi dunia kini, serta melihatkan kepada peristiwa yang berlaku di Negeri di Bawah Bayu itu, jelaslah bahawa kepentingan rundingan amatlah tinggi nilainya bagi mengelakkan daripada berlakunya peperangan yang tidak akan menguntungkan semua pihak. Kaedah ini jugalah yang telah digunakan oleh pasukan keselamatan di tanah Borneo itu demi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah sehinggalah menyedari bahawa pasukan pengganas terus berkeras, maka tindakan ketenteraan telah diambil, yang menyaksikan gugurnya beberapa orang anggota polis dan tentera.

Jelaslah kepada kita betapa pentingnya untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai keamanan sejagat, demi memelihara kedaulatan serta maruah tanah air kita. Hapuskanlah setiap perbezaan serta jurang yang wujud di kalangan kita rakyat Malaysia, demi mewujudkan masyarakat yang harmoni, yang cinta akan keamanan negara, dalam usaha untuk melaksanakan agenda utama negara kita yang berpaksikan kepada kesejahteraan dan keamanan.

Tuesday, May 14, 2013

PERPADUAN TUNGGAK KEAMANAN


Malaysia yang dikenali sebagai negara yang berstatus aman makmur mempunyai masyarakat berbilang kaum, berasal daripada pelbagai jenis bangsa dan budaya. Masyarakat yang berpegang teguh pada konsep perpaduan serta berjanji setia untuk terus bersama-sama mengekalkan keamanan negara berdaulat ini.

Tanpa mengambil kira sebarang aspek perbezaan kaum, seluruh rakyat Malaysia seharusnya memberikan sokongan padu kepada pasukan keselamatan negara yang bertungkus lumus mempertahankan maruah bangsa dan tanah air daripada dipijak sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pengalaman pahit yang telah dialami oleh penduduk-penduduk Sabah sudah cukup memberikan kita satu pengajaran yang sangat berguna bahawasanya perpaduan sesama kaum itu sangat tinggi nilainya.

Jangan kerana hanya memikirkan kepentingan politik, isu keselamatan juga turut dipertikaikan. Apalah kiranya andai kita seluruh warga Malaysia dapat sama-sama berhimpun, tanpa sedikitpun mengambil kira jenis puak dan “warna bendera”, menadah tangan memohon agar keamanan negara Malaysia dapat dikekalkan, memohon agar kesejahteraan Malaysia terus terpelihara dengan izin-Nya.

Saturday, May 11, 2013

RAKYAT PERLU PEKA

Dapat kita lihat keadaan muka bumi negara Palestin kini sudah berubah seratus peratus kesan daripada ketidakwujudan keamanan setelah ditindas oleh tentera Israel puluhan tahun lamanya. Rakyat Malaysia seboleh-bolehnya tidak mahu keadaan seperti itu berlaku di negara kita. Kita memasang harapan agar episod penderitaan seperti yang dialami oleh masyarakat Palestin tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Namun, keamanan yang kita kecapi ini bukanlah menjadi titik tolak untuk kita terus berpuas hati tanpa usaha meningkatkan kesedaran majoriti mengenai erti sebuah keamanan. Seharusnya, sebagai rakyat Malaysia yang mementingkan kemakmuran negara haruslah tahu peranan masing-masing dengan menjadi mata dan hati kepada pasukan keselamatan negara, membantu mereka membanteras semua kegiatan yang boleh meranapkan kedaulatan negara kita, yakni kedaulatan yang memerlukan masyarakat, polis dan tentera sebagai paksi utama dalam merealisasikan matlamat tersebut dalam misi untuk mengekalkan keamanan negara.


Monday, April 29, 2013

MALAYSIA KITA

Sudah enam dekad berlalu di mana Malaysia telah memperolehi kemerdekaan dan mengecap keamanan selepas era penjajahan suatu ketika dahulu. Keamanan yang Malaysia kecapi sehingga ke hari ini menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan di mata dunia. Keamanan inilah yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat serta mempunyai pemimpin yang berwibawa dan bijak menguruskan hal-hal pentadbiran negara.
Tetapi sejauh manakah kesedaran kita sebagai rakyat Malaysia mengenai keamanan yang kita kecapi ini. Kalaulah kita berada di zaman penjajahan dahulu, pasti kita akan lebih menghargai erti sebuah keamanan. Sudah pasti kita akan lebih memahami betapa peritnya perasaan nenek moyang kita ketika menentang penjajah. 
Jika diimbas kembali detik-detik cemas 12 Februari lalu yang menyaksikan Pantai Timur Sabah diceroboh sewenang-wenangnya oleh sekumpulan penceroboh, yang boleh dikategorikan sebagai pengganas melihatkan kepada tindakan nekad mereka terhadap pasukan keselamatan negara. Peristiwa ini jelas menggambarkan kepada kita bahawasanya keamanan yang kita miliki sekarang bukanlah hak milik mutlak negara kita.